PROGRAM SE-MOF MAKMAL HIDUP (LIVING LAB) KOMUNITI MUKIM AYER HITAM, MUAR, JOHOR
PENGENALAN PROJEK
Inisiaitif Program Perusahaan Sosial Kementerian Kewangan (SE-MOF) di bawah inisiatif belanjawan tahun 2022 ini telah digerakkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dalam memberi nafas baru kepada masyarakat setempat dalam mendepani cabaran-cabaran ekonomi semasa. Melalui kerjasama bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Program SE-MOF bertajuk Makmal Hidup Komuniti Mukim Ayer Hitam, Muar, Johor Darul Ta’zim telah digerakkan bagi mencuba potensi penjanaan ekonomi baru untuk komuniti setempat di daerah ini. Inisiatif ini juga mendapat kerjasama erat oleh Rakan Strategik dari Pejabat Daerah Muar, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (Daerah Muar), Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan (KASSS) serta komuniti setempat.
Pembangunan 'RnDStay' telah dimulakan untuk mencetuskan perkongsian pintar antara warga universiti tempatan dan masyarakat setempat. Di samping itu, tapak semaian Nepenthes atau pokok periuk kera telah dibangunkan untuk menyokong inisiatif pemuliharaan di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara (AHU), Muar. Beberapa spesies pokok periuk kera yang unik telah ditemui pada masa ini di hutan simpanan. Dengan mempunyai tapak semaian, ia bukan sahaja melindungi spesies daripada kepupusan tetapi juga menjana ekonomi baharu untuk penduduk tempatan. Di samping itu, Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara kerap kali terdedah kepada ancaman kebakaran gambut. Inisiatif ini boleh meningkatkan kelangsungan hidup spesies selama bertahun-tahun akan datang.
RnDStay
RnDStay
Projek ini bertujuan untuk menjana pendapatan baru untuk peserta setempat melalui RnDStay. RnDStay ini mirip kepada konsep inap desa tetapi lebih menekankan maklumat-maklumat berkaitan penyelidikan dan pembangunan di daerah Muar. Bangunan ini yang sebelumnya mengalami masalah keretakan yang serius serta tidak dapat digunakan telah dapat ditambah baik melalui teknologi pembinaan yang dibangunkan secara bersama oleh UTHM dan masyarakat setempat. Seterusnya maklumat-maklumat penyelidikan dalam bentuk poster dan lain-lain diletakkan di bangunan ini agar dapat memberi maklumat kepada para pengunjung.




Periuk Kera
Periuk Kera
Penjanaan pendapatan pengusaha melalui penjualan pokok periuk kera di nurseri di Ayer Hitam juga diharapkan memberi sinar baru dalam penjanaan ekonomi di sini. Projek ini mensasarkan dapat membantu usaha-usaha banyak pihak dalam pemeliharaan Hutan Taman negeri Ayer Hitam Utara yang merupakan satu-satunya hutan paya gambut di negeri Johor. Ekosistem pokok periuk kera yang terdedah kepada ancaman boleh dibantu dengan mengalihkan minat masyarakat umum dalam mengusahakan nurseri pokok periuk kera sebagai hobi dan juga punca pendapatan. Ia dapat mengelakkan dan mengurangkan minat pihak-pihak tertentu dalam mengambil pokok hutan ini yang seterusnya boleh menyebabkan kepupusan. Kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga hutan paya gambut dan pendedahan penyelidik dan pelancong tempatan kepada perkara ini juga dapat ditambah baik.
Harta Intelek
